Welcome...

Ahad, 20 Februari 2011

ISU-ISU PEMBUANGAN BAYI DARI TAHUN 2010-2011

Dipetik dari Berita Harian

Tangani kes buang bayi

2010/03/12

Penjenayah mungkin ulangi perbuatan

PEMBUANGAN bayi dilakukan oleh wanita hasil perhubungan luar nikah dan dilakukan lantaran si ibu bukan saja tidak mengingini bayi itu sebaliknya tekanan diterima masyarakat berhubung status anak berkenaan.

Pengarah Institusi Pemulihan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid), Ustaz Masridzi Sat, berkata kes berkenaan dikesan dilakukan di kalangan remaja yang terdesak akibat perhubungan bebas antara lelaki dan wanita dan tidak tahu ke mana arah untuk mengadu nasib.

Katanya, perbuatan pembuangan bayi di lakukan sejak zaman Jahiliah lagi, tetapi apabila ia berlaku pada zaman ini, membuktikan penyakit sosial itu sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera.
“Hari ini pembuangan bayi dilakukan mengikut dua cara iaitu sopan dan biadap. ‘Sopan’ apabila dilakukan menerusi pengguguran haram di klinik atau tempat tertentu ketika janin masih dalam kandungan dan diletakkan di masjid atau rumah orang, tetapi dalam kes pembuangan yang dikategorikan sebagai biadap pula apabila bayi berkenaan dibuang bagaikan sampah.

“Dalam kes biadap tadi, bayi dijumpai selalunya mengalami kecacatan kerana ada tanda-tanda ia kesan pemakanan ibu yang ingin menggugurkan kandungan itu menerusi pengambilan arak dan sebagainya. Bagaimanapun pembunuhan yang tragis seperti memotong anggota tubuh, membakar dan sebagainya, besar kemungkinan di lakukan oleh ibu di bawah pengaruh dadah menjadikan tindakan diambil itu tidak waras,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, perbuatan zina hingga melahirkan bayi dilakukan akibat pergaulan bebas. Dan dalam kebanyakan kes didapati di Perkid, 90 peratus daripada remaja mengatakan perbuatan melampau mereka berpunca daripada ibu bapa yang tidak berperanan dalam mendidik anak-anak ke jalan yang diredai Allah.

Perkid, berjuang lebih 15 tahun membantu ibu bapa, guru serta pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha menyelamatkan anak-anak umat Islam daripada bencana penyakit sosial dengan menubuhkan lima institusi pemulihan yang terbukti berjaya.
Ia ditubuhkan bukan hanya merawat kes yang parah, sebaliknya turut turun padang menjalankan usaha dakwah dan cegah mungkar di lokasi remaja melakukan maksiat. Ia turut menawarkan program pencegahan khusus untuk membantu pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat mendidik anak atau pelajar melalui beberapa pakej program ditawarkan. Menerusi operasi dakwah dan cegah maksiat pula, ia dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa agama, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan sebagainya.

Masridzi berkata, filem ‘Anakku Sazali’ arahan Tan Sri P Ramlee, merungkai sikap ibu bapa yang tidak mempunyai ilmu mendidik anak-anak.

Lebih malang apabila anak berkenaan tersilap langkah, ibu bapa yang melahir dan membesarkan itu dianggap tidak memahami serta gagal hingga menjadikan mereka sebegitu.

“Apabila anak-anak bebas melakukan apa saja tanpa batasan, atas alasan kebebasan manusia dan hak remaja, maka mereka akan membesar sebagai remaja yang memberontak untuk mencari keseronokan.

“Remaja yang rosak akhlaknya di sini, kebanyakan disebabkan dalam keluarganya mengamalkan sifat keakuan. Ibu ayah sibuk dengan hal duniawi cenderung memenuhi keinginan anak-anak dengan telefon bimbit, internet di rumah sebagai membuktikan mereka sayangkan dan manjakan anak.

“Sedangkan remaja yang tidak tahu menghargai pemberian itu akan leka dan membina keseronokan sendiri. Saya menyifatkan telefon bimbit sebagai senjata pemusnah diri anak-anak walaupun ramai yang menyatakan ia satu keperluan, tetapi berapa ramai ibu bapa yang mengambil kisah apa yang ada dalam telefon bimbit anak-anak mereka? Hari ini membuat dosa, bukan perlu berada di kelab-kelab malam atau berfoya-foya di luar rumah, sebaliknya ia boleh berlaku di dalam rumah dan hanya di hujung jari,” katanya.

Mengambil satu kes di mana seorang remaja perempuan yang didakwa baik oleh ibu bapanya, tetapi apabila diperiksa dalam telefon bimbitnya, terkandung gambar separuh bogel yang dihantar kepada teman lelakinya sedangkan sebelum itu ibu bapanya bukan saja membenarkannya menggunakan telefon bimbit, tetapi tidak mengawal atau memeriksa kandungannya.

“Malangnya teman lelakinya itu menggertak meletakkan gambar itu di ‘ You Tube’, remaja ini sanggup menjadi hamba seks teman lelakinya atas alasan takut diketahui ibu bapa. Perhubungan ini boleh menjurus berlaku kehamilan dan apabila berlaku, kandungan itu besar kemungkinan akan dibuang sama ada menerusi pengguguran haram.

“Sekiranya kandungan tidak berjaya digugurkan, maka bayi yang lahir itu akan dibuang dan jangan terkejut sekiranya kehamilan dan pembuangan bayi boleh dilakukan lebih daripada sekali sekiranya ia tidak dibendung daripada awal,” katanya.

Mengumpamakan didikan anak-anak bagaikan bermain layang-layang, ibu bapa boleh melepaskan anak-anak terbang tinggi ditiup angin, tetapi benangnya tetap berada di tangan.

Malangnya dalam setiap kes pembuangan bayi, penjenayah itu tidak boleh dikenal pasti justeru pendekatan baru yang lebih canggih boleh diambil seperti menerusi DNA. Perkid boleh dihubungi di talian 03-90213730 atau 03-4280 0730.

FAKTA: Apa yang perlu anda tahu mengenai pembuangan bayi
Pembuangan bayi adalah satu jenayah. Ia terjadi akibat kehamilan tidak diingini. Ramai remaja yang mengandung di luar nikah terpaksa membuang bayi mereka terdesak, akibat malu dan takut akan akibat yang bakal ditanggung.
Punca :

  • Kehamilan tidak diingini
  • Perhubungan seks rambang dan luar nikah

Kesan :
  • Sudut Perubatan
    • Kadar kematian bayi lebih tinggi disebabkan penjagaan perubatan yang tidak sempurna
    • Kesihatan ibu yang terjejas akibat kehilangan darah; jangkitan kuman; kecederaan sewaktu bersalin; psikologi dan sosial.
  • Sudut psikologi dan sosial
    • Murung
    • Hilang keyakinan diri
    • Rasa bersalah
    • Resah atau gelisah
    • Masalah emosi dan hubungan interpersonal
  • Implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi.
  • Putus hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan.

Bagaimana mengelakkan pembuangan bayi?
Elakkan kehamilan jika anda belum:

  • Berkahwin
  • Bersedia membesarkan anak
  • Bersedia membina keluarga.

Semua agama utama di Malaysia:
  • Melarang seks sebelum kahwin
  • Taat kepada ajaran agama

Elakkan seks sebelum kahwin:
  • Anda bertanggungjawab ke atas hidup anda sendiri.
  • Lindungi kesihatan dan emosi anda tanpa seks sebelum kahwin.
  • Jika pasangan yang benar-benar menyayangi dan menghormati anda, dia tidak akan meminta seks sebelum kahwin.
  • Selalu tanam dalam fikiran, badan anda adalah tanggungjawab anda, justeru jagalah badan anda dengan baik.
  • Elakkan membaca atau menonton bahan-bahan lucah.
  • Babitkan diri dalam aktiviti yang berfaedah seperti sukan, bersenam, aktiviti kebudayaan dan kerja-kerja sukarela.

Sekiranya anda sudah melakukan hubungan seks sebelum kahwin:
  • Fikirkanlah kesan dan akibatnya dengan teliti dan mendalam.
  • Dapatkan bantuan jika anda hamil.
  • Anda boleh mengatur supaya bayi anda dijadikan anak angkat.

Ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan:
  • Terdapat pelbagai agensi yang boleh membantu anda.
  • Pastikan anda tahu mengenai implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi.

Di mana anda boleh mendapatkan bantuan jika anda hamil? Dapatkan bantuan dari:
  • Ibu bapa sekiranya anda boleh berbincang dengan mereka.
  • Kaunselor sekolah.
  • Guru sekolah.
  • Doktor dan anggota kesihatan di klinik kesihatan atau hospital yang berdekatan.
  • Pegawai kebajikan di Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berdekatan.

Implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi: Di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Child Act) - Akta 611:
  • Seksyen 17 - Anak yang dibuang akan dilindungi dan dijaga.
  • Seksyen 46 - Ibu bapa boleh mendapatkan bantuan atau nasihat mengenai anak mereka yang tidak dapat dikawal dengan baik. Anak ini akan ditahan di tempat yang dibenarkan di bawah kuasa mahkamah.

Di dalam rang Undang-undang Jenayah Malaysia penal code:
  • Sesiapa yang membuang bayi akan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun


Dipetik dari Utusan Online
ARKIB : 07/04/2010

Selangor catat kes pembuangan bayi tertinggi - Shahrizat

07/04/2010 2:57pm

KUALA LUMPUR 7 April - Selangor mencatatkan jumlah kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak tertinggi di negara ini sejak lima tahun lepas bermula 2005, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, mengikut statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Selangor mencatatkan 105 kes pembuangan bayi manakala statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula merekodkan 3,234 kes penderaan kanak-kanak.
"Secara keseluruhannya, 407 kes direkodkan berkaitan pembuangan bayi dan 10,758 kes penderaan kanak-kanak dan bayi dicatatkan sejak lima tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) yang ingin tahu jumlah kes pembuangan bagi dan penderaan bayi bagi tempoh 2005-2010 mengikut negeri dan sebab kejadian tersebut berlaku serta tindakan kerajaan dalam menangani gejala tersebut.
Selain Selangor, Johor mencatatkan 83 kes pembuangan bayi, Sabah (65), Sarawak (34), Negeri Sembilan (24), Pulau Pinang (22), Perak (19), Pahang dan Kedah (17), Kelantan (10), Terengganu (5), Melaka (3), Kuala Lumpur (2) dan Perlis (1). - Bernama

Dipetik dari Berita Online
Ahad , 20 Februari 2011

Empat lagi kes buang bayiOleh Rohaniza Idris dan Umi Nadirah Abdul Rahman
bhnews@bharian.com.my
2010/08/14

Menteri kecewa masyarakat tak peduli hukuman lebih berat

KUALA LUMPUR: Belum sampai 24 jam Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh dan percubaan membunuh, empat lagi kes pembuangan bayi dilaporkan dalam tempoh itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menerima maklumat tiga kes pembuangan bayi dilaporkan di Kelantan, Melaka dan Kuala Lumpur. Satu lagi kes dilaporkan di Johor Bahru.
“Semua pihak mesti serius dan tidak lepas tangan berhubung kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

“Isu ini jika tidak ditangani segera mengakibatkan kehancuran nilai agama dan budaya dalam masyarakat pada masa depan.

“Ini tanggungjawab bersama ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pemimpin. Jangan ambil kes ini sambil lewa,” katanya kepada pemberita selepas melawat Wad Bersalin Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam kejadian di Johor Bahru, seorang penjala ikan, Mohd Moh Othman, 60, terkejut menemui mayat bayi yang tidak diketahui jantinanya dalam bakul di pinggir laut berhampiran Jalan Datuk Onn, kira-kira jam 5 petang kelmarin.
“Sekali pandang, bayi berkenaan cukup sifat dan masih bertali pusat. Saya buntu sebaik melihat mayat itu dan membuat laporan polis selepas disuruh ahli keluarga,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob mengesahkan kejadian itu dan polis sedang menjalankan siasatan.

Sementara itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati purata tiga bayi dibuang setiap dua minggu di negara ini sepanjang 2007 hingga April lalu, membabitkan 312 kes.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Mohamed Fadzil Che Din, berkata perangkaan itu mungkin lebih tinggi kerana ia yang disenaraikan itu hanyalah kes yang dilaporkan kepada JKM.

Statistik kes pembuangan bayi dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga tahun lalu. Ia menunjukkan trend peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) yang menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008) dan 79 kes (2009).

Sebilangan besar individu yang terbabit dalam kes pembuangan bayi berusia antara 18 hingga 25 tahun, 20 kes membabitkan individu berusia bawah 18 tahun, 33 dilakukan individu 25 tahun ke atas, manakala 403 individu lagi gagal dikesan peringkat umur mereka.

Daripada jumlah 396 kes itu, 137 kes membabitkan pembuangan bayi lelaki, 102 bayi perempuan dan selebihnya tidak diketahui jantina.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi 2000 hingga 2008 pula, 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa.

Lebih menyedihkan bagi tempoh 1999 hingga 2003 saja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Runding Kanan HKL, Datuk Dr J Ravindran, berkata kes wanita melahirkan anak luar nikah di hospital terbabit mencatatkan peningkatan pada tahun ini berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu 392 wanita melahirkan anak luar nikah. Daripada itu, 62 adalah berumur bawah 18 tahun. Pada tahun ini terdapat penambahan kes iaitu sehingga bulan Julai, terdapat 301 kes termasuk 34 kes bawah umur 18 tahun,” katanya.

Memori ke Sekolah Pondok Di Sik




Hari ni, aku dan rakan-rakan yang lain...pergi wat gotong royong di Sik, Kedah. Sekolah pondok...emmm klu dulu sebelum dapat pendedahan mengenai sekolah pondok ni...aku bayangkan sekolah yang macam pondok dusun durian. namun, sebenarnya sekolah pondok tak camtu pun. Sekolah pondok merupakan kesinambungan daripada belajar agama.untuk masuk ke sekolah tu macam masuk sekolah biase yang lain...ada pendaftaran...kat sekolah tu..der 1 asrama puteri .bila malam diorang akan tido kat situ. bila pagi diorang boleh lepak dan tido di pondok-pondok kecil yang ada kat situ. suasana sekolah pondok ni kan lebih macam suasana berkhemah tau. kalau time makan,diorang akan masak sendiri.. kalau pergi sekolah, diorang xpakai baju seragam sekolah biasa,,,diorang pakai jubah dan matapelajaran pun berbeza...diorang belajar BM dan Matematik jer...dan sudah tentu lebih menekankan soal ilmu agama..hasil daripada program yang aku ikuti ni memang banyak membantu  mengubah kefahaman aku mengenai sekolah pondok..kalau diorang mandi...diorang pakai air paip gak....dan tandas diorang lagi cantik dari tandas tempat aku menginap. bekalan elektrik sume cukup. kiranya keperluan budak-budak kat situ sume terjaga...bersih sebab jauh dari pencemaran asap kenderaan dan bunyi...damai jer rasa...bila motif datang sana untuk wat gotong royongkan...tapi xtau pe lagi nak dibersihkan coz keadaan sekolah tu bersih sangat...emm memang pengalaman yang menyoronokkan...